Proses membuat pecahan bahagian bagi lot tanah yang mempunyai lebih daripada 1 nama sebagai pemilik tanah tersebut.
Kami akan memberikan penerangan secara penjelasan ringkas dengan rujukan gambarajah contoh mengenai apakah perbezaannya di antara prosedur dan juga kerja ukur tanah yang membabitkan antara ‘Pecah Bahagian’ dengan ‘Pecah Sempadan’.
Dari segi sebutan, mungkin kedengaran seperti sama sahaja tetapi dari segi kefahaman serta definasinya, ramai tuan tanah yang masih lagi keliru serta tidak faham apakah maksud sebenar dan juga perbezaan proses kerja yang membabitkan ‘Pecah Bahagian’ dan juga ‘Pecah Sempadan’ sesuatu bidang lot tanah yang berkongsi hakmilik.
Untuk memudahkan pembaca memahami apakah perbezaan di antara 2 kerja pecah lot tanah ini, pertama sekali penulis akan berikan definasi ringkas akan maksud sebenar kedua-dua perkataan tersebut.
PECAH BAHAGIAN
Prosedur pecah bahagian adalah merupakan satu proses kerja yang dibuat bagi membahagikan satu lot tanah itu kepada beberapa bahagian mengikut luas sebenar bahagian masing-masing seperti yang telah ditulis di dalam dokumen geran tanah untuk lot tanah tersebut.
PECAH SEMPADAN
Manakala prosedur pecah sempadan pula adalah berlainan kerana kerja pembahagian lot tanah tersebut adalah dibuat bukan kerana hendak membahagikan lot tanah tersebut kepada luas sebenar bahagian masing-masing. Pemecahan sempadan lot tanah tersebut dibuat bagi menerbitkan beberapa jumlah bahagian tertentu yang dipersetujui secara bersama oleh kesemua pemilik tanah tetapi tidaklah mengikut jumlah bahagian serta luas sebenar seperti yang telah ditulis di dalam dokumen geran tanah. Satu lot tanah yang mempunyai 2 nama pemilik tetapi boleh saja dipecahkan kepada 2 atau lebih daripada 2 bahagian mengikut persetujuan bersama tetapi masih mengekalkan jumlah pegangan kadar pecahan bahagian pemilikan tanah yang sama seperti asal ke atas setiap pecahan bahagian yang telah dibuat.
Masih tidak faham dan keliru !!! Hehe… maaflah sebagai seorang jurukur tanah yang bukan pakar bahasa, penulis sendiri pun kurang arif dalam memilih ayat yang sesuai untuk memberikan penjelasan tepat tetapi di bawah akan penulis tunjukkan dengan contoh gambarajah rujukan untuk lebih memudahkan anda faham maksud sebenar penulis. Adalah diharapkan dengan penerangan dan juga rujukan gambarajah contoh akan memudahkan pembaca faham definasi Pecah Sempadan ini.

Diberikan satu contoh mudah, ada satu lot tanah iaitu Lot 1234 dengan luas 1 ekar dan mempunyai 2 pemilik dengan luas bahagian masing-masing adalah ½ bahagian.
Pemilik tanah itu adalah :
1) Abang : 1/2 bahagian
2) Adik : 1/2 bahagian
Jika kedua-dua pemilik tanah ini bersetuju untuk membahagikan lot tersebut kepada luas sebenar mengikut luas bahagian masing-masing seperti yang telah ditulis di dalam geran tanah maka mereka perlulah membuat proses ‘Pecah Bahagian’ yang seperti dalam gambarajah di bawah.

Maka dibuat satu Pelan Pecah Bahagian dengan masing-masing akan mendapat bahagian tanah dengan keluasan 0.5 ekar setiap pemilik.
Tetapi jika mereka bersepakat pula hendak membuat pecahan lot tanah tersebut kepada 2 bahagian tetapi masing-masing masih hendak mengekalkan jumlah pegangan hakmilik ke atas setiap bahagian yang mahu dibuat itu sebanyak ½ bahagian maka perlulah dibuat proses ‘Pecah Sempadan’ yang seperti berikut.

Dibuat 2 pecahan bahagian dengan luas 0.5 ekar setiap bahagian tetapi kedua-dua mereka masih juga berkongsi hakmilik yang sama luas iaitu masing-masing mempunyai luas ½ bahagian ke atas setiap pecahan bahagian tersebut.
Tetapi jika mereka bersepakat pula hendak membuat lebih daripada 2 pecahan bahagian, contohnya dipecahkan kepada 4 bahagian tidaklah menjadi masalah jika masing-masing sudah bersetuju dengan jumlah pecahan yang hendak dibuat. Maka beginilah pula bentuk pecahan tersebut.

Dibuat 4 pecahan bahagian dengan luas setiap bahagian tersebut adalah 0.25 ekar tetapi kedua-dua pemilik tanah itu masih juga mengekalkan pegangan hakmilik berupa ½ bahagian di dalam setiap pecahan bahagian yang telah dibuat.
Melalui gambarajah contoh yang telah ditunjukkan beserta dengan penerangan ringkas berkenaan setiap proses pecahan yang telah dibuat oleh kedua-dua pemilik tanah di atas, kami berharap pembaca telah faham akan perbezaan proses dan kerja di antara kedua-dua prosedur pecah tanah ini iaitu di antara ‘Pecah Bahagian’ dan juga ‘Pecah Sempadan’.
